Thursday 12 April 2012

TUN DR M - BENARKAH SIKAP & MODAL MENJADI PENGHALANG KEJAYAAN USAHAWAN MELAYU?



"Sebenarnya jika kita ikhlas dan sanggup memeriksa diri sendiri kita akan dapati bahawa banyak kelemahan yang boleh kita atasi sendiri bagi menjayakan diri kita. Antaranya ialah sikap untuk "cepat kaya" tanpa risiko. Sindrom ini yang masih berleluasa dapat diperhatikan apabila Bumiputera merelakan kaum lain menggunakan nama mereka sama ada pembelian saham yang dikhaskan kepada Bumiputera atau untuk mendapatkan lesen atau permit. Cara ini tidak mempunyai risiko dan pendapatan datang dengan cepat atau upfront. Malangnya cara ini akan mengekalkan kejahilan Bumiputera dalam pengurusan perniagaan"

"Modal adalah satu masalah yang dihadapi oleh semua peniaga. Tidak ada peniaga di mana-mana yang mempunyai cukup modal. Modal pinjaman pun tidak pernah cukup. Kurangnya modal bagi Bumiputera berlaku daripada sebelum ada MARA, Bank Bumiputera dan bermacam-macam tabung Kerajaan sehinggalah kesemua kemudahan ini diadakan. Jika berbagai-bagai tabung diadakan masalah kurang modal akan terus melanda peniaga Bumiputera"

"Jika ditunggu sehingga ada modal yang cukup, maka tidak ada perniagaan yang boleh diadakan. Hanya ada satu cara sahaja untuk mengatasi kurang modal, dan caranya ialah dengan menyesuaikan perniagaan dengan modal dan bukan modal dengan perniagaan. Insya Allah, jika perniagaan berjaya dan semua hutang dibayar mengikut jadual, mendapat modal yang mudah akan menjadi mudah. Nothing fails like failure, nothing succeeds like success."

(Majlis Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 10 Januari 1992)

No comments:

Post a Comment