Thursday 5 April 2012

APA KATA TUN DR M MENGENAI KEKUATAN UMAT & NEGARA ISLAM

"Sebagai langkah awalan, Kerajaan kesemua negara Islam boleh merapatkan barisan dan mengambil pendirian bersama sekurang-kurangnya mengenai isu-isu besar seperti Palestin, kalau pun tidak mengenai semua isu. Semua kita ini umat Islam. Kita semua ditindas. Kita semua dihina. Tetapi kita, yang ditempatkan Allah sebagai pemimipin umat Islam tidak langsung benar-benar cuba bertindak secara bersatu untuk mempamerkan persaudaraan dan perpaduan yang dituntut oleh Islam."

"Kita gagal melihat bahawa musuh dan pengkritik kita tidak ambil peduli sama ada kita umat Islam sejati atau tidak. Bagi mereka kita semua Islam, pemeluk suatu agama dan pengikut seorang Nabi yang mereka isytiharkan sebagai penggalak keganasan dan kita semua adalah musuh ketat mereka. Mereka akan menyerang dan membunuh kita, menakluk tanah air kita, menjatuhkan Kerajaan kita, tidak kira sama ada kita ini Sunnah atau Syiah, Alawiah atau Druze atau apa sahaja. Kita membantu dan bersekongkol dengan mereka secara menyerang dan memperlemah sesama kita sendiri, dan kadang kala kita menjadi dalang dan bertindak sebagai tali barut untuk menyerang saudara kita yang seagama. Kita cuba menjatuhkan Kerajaan kita sendiri melalui kekerasan dan berjaya melemahkan serta memiskinkan negara kita. Kita bulat-bulat mengabaikan dan terus mengabaikan kehendak Islam supaya kita bersatu dan bersaudara sesama Kerajaan negara-negara Islam dan sesama ummah."

"Umat Islam kini berjumlah 1.3 bilion orang. Kita memiliki simpanan minyak terbesar di dunia. Kita banyak kekayaan. Kita tidak lagi buta ilmu sepertimana puak Jahiliah yang memeluk Islam dahulu. Kita memahami cara perdagangan dan kewangan dunia diuruskan. Kita menguasai 57 daripada kumpulan kecil Jahiliah yang memeluk Islam dan menerima Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin mereka. Kenapa? Adakah ini kehendak Allah atau kita telah salah mentafsir agama kita, atau gagal mematuhi ajaran sebenar agama kita atau kerana kita telah membuat kesilapan?"

"Islam menyuruh kita bersiap sedia untuk mempertahankan ummah. Malangnya kita kurang menekankan soal pertahanan sebaliknya terus membincangkan jenis senjata pada zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Senjata dan kuda yang digunakan ketika itu tidak boleh lagi mempertahanankan kita. Kita perlukan senapang dan roket, bom dan pesawat pejuang, kereta kebal dan kapal perang untuk pertahanan kita. Tetapi oleh kerana kita tidak digalakkan mempelajari sains dan matematik dan lain-lain ilmu kerana perbuatan itu sebagai tidak mementingkan akhirat, akibatnya hari ini kita tiada keupayaan untuk mengeluarkan senjata sendiri untuk pertahanan kita."

"Mustahil tidak ada jalan lain. Umat Islam berjumlah 1.3 bilion orang tidak boleh dikalahkan oleh beberapa juta Yahudi. Mesti ada jalan lain. Kita akan nampak jalannya jika kita berhenti seketika dan berfikir untuk mengukur kelemahan dan kekuatan kita bagi merancang, mengatur strategi dan kemudian melancarkan serang balas. Sebagai umat Islam, kita mencari pedoman daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi. Sudah pastinya pengalaman perjuangan Nabi selama 23 tahun boleh memberi panduan tentang apa yang kita boleh buat dan patut buat."

"Kita tidak mungkin dapat melakukan sedemikian. Kita mungkin tidak dapat menyatukan 1.3 bilion umat Islam. Kita mungkin tidak berjaya menggabungkan kesemua Kerajaan Islam untuk bertindak seiring. Tetapi jika kita dapat mengembleng sepertiga daripada negara Islam untuk bertindak bersama-sama, kita memang boleh berbuat sesuatu."

(Majlis Sidang Kemuncak OIC, Putrajaya , 16 Oktober 2003)

No comments:

Post a Comment